DIALOG IMAM HASAN AS. DENGAN MUAWIYAH



Pengenalan
Tuntutan Hasan b. `Ali terhadap jawatan khalifah selepas bapanya amatlah ketara meskipun pada akhirnya beliau terpaksa melepaskan jawatan tersebut demi menjaga dirinya, keluarganya serta Syi`ahnya dari ancaman Mu`awiyah b. Abi Sufyan. Di dalam perbincangan mereka mengenai Imamah/Khilafah, caci mencaci telah berlaku. Sekali pandang ia tidak harus berlaku kerana mereka tergolong di kalangan para sahabat Rasulullah s.`a.w. Apatah lagi cacian mereka terhadap Hasan b. `Ali di mana beliau dan bapanya merupakan Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w.

Mungkin kilauan dunia telah membuat manusia melupai Ahl al-Bait Rasulullah s.`a.w. Semuanya telah berlaku di dalam dunia Islam dan dicatat oleh para ulama dari golongan Ahl al-Sunnah dan Syi`ah. Persoalan yang timbul sekiranya para sahabat boleh mencaci sesama mereka, sementara orang lain yang bukan bertaraf sahabat tidak boleh menyebut dan menulis perbuatan mereka yang menyalahi nas, apakah keistimewaan mereka sehingga mereka diberi laluan yang istimewa sehingga boleh menyalahi Allah dan RasulNya?

Di sini diperturunkan hujah-hujah Hasan b. `Ali khususnya mengenai Imamah/Khilafah terhadap Mu`awiyah dan rakan-rakannya berdasarkan catatan al-`Allamah al-Tabarsi seorang ulama Mazhab Ja`fari abad keenam Hijrah di dalam bukunya al-Ihtijaj.1 Untuk menguatkan hujah, penulis membuat rujukan kepada buku-buku para ulama Ahl al-Sunnah.

Diriwayatkan daripada al-Sya`bi, Abi Mikhnaf dan Yazid b. Habib al-Misri sesungguhnya mereka berkata: Tidak terdapat per­tengkaran dalam Islam satu hari di mana orang ramai berkumpul di satu majlis yang lebih riuh rendah dari majlis yang dihadiri oleh Mu`awiyah b. Abi Sufyan, `Amru b. `Uthman b. `Affan, `Amru b. al-`As, `Atbah b. Abi Sufyan, al-Walid b. `Uqbah b. Abi Mu`it, al-Mughirah b. Syu`bah, semua mempunyai nada yang sama.

Amru b. al-`As berkata kepada Mu`awiyah: Kenapa anda tidak mengutus kepada Hasan b. `Ali supaya tampil ke mari, kerana beliau telah menghidupkan sunnah bapanya. Sepatu digerakkan di belakangnya, jika diperintah akan dipatuhi. Dia berkata: Percaya­lah, dua perkara ini akan mengangkatnya kepada perkara yang lebih besar daripada itu. Sekiranya anda mengutuskan kepadanya, nes­caya kami boleh menghinanya dan bapanya. Kami akan mencacinya dan bapanya. Kami akan memperkecilkannya dan bapanya. Kami boleh terus melakukannya sehingga beliau membenarkan anda menge­nainya.

Mu`awiyah berkata kepada mereka: Aku khuatir kalian akan dibelenggu kehinaan sehingga kalian memasuki kubur. Demi Tuhan, aku melihatnya dengan penuh kebencian. Lantaran itu aku akan memalukannya. Sesungguhnya jika aku mengutuskan kepadanya hanya­lah semata-mata bagi mengajarnya di hadapan kalian.2

`Amru b. al-`As berkata: Adakah anda khuatir kebatilannya mengatasi kebenaran kita, kesakitannya mengatasi kesihatan kita? Dia menjawab: Tidak. Dia berkata: Jikalaulah begitu keadaannya, maka jemputlah beliau kemari.

`Utbah berkata: Aku kurang pasti dengan pendapat ini. Demi Tuhan, kalian tidak akan mampu untuk menghadapinya tetapi beliau mampu untuk menghadapi kalian kerana beliau Ahl al-Bait yang handal berdebat. Lalu mereka menghantar utusan seorang lelaki kepada Hasan.

Apabila utusan itu sampai kepadanya, lantas dia berkata kepada Hasan: Mu`awiyah menjemput anda. Hasan bertanya: siapa bersamanya? Utusan itu menjawab: Di sisinya si polan dan si polan. Dia menyebut nama-nama mereka semua.

Hasan berkata: Malang untuk mereka dan azab akan mendatangi mereka dalam keadaan mereka tidak menyedarinya. Kemudian beliau berkata: Wahai jariah (hamba perempuan) hulurkan kain kepadaku. Kemudian beliau berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya dengan Engkau aku menolak ancaman mereka, aku pohon perlindungan dengan Engkau daripada kejahatan mereka, aku pohon pertolongan dengan Engkau ke atas mereka. Lantaran itu pertahankan aku daripada mereka menurut kehendak Engkau, bilamana Engkau kehendaki dengan



1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 next