Bahasa Arab Industri Berpotensi




PESTA Buku Antarabangsa ke-27 kini berlangsung di Pusat dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur (PWTC). Ia bermula sejak 4 April lepas dan akan berakhir 13 April ini. Kedatangan pengunjung setakat ini begitu memberansangkan. Adalah diharapkan kunjungan ke pesta ilmu ini lebih meriah daripada pesta-pesta yang berbentuk hiburan yang lain.Ini kerana kita sedia maklum bahawa ayat pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad di Gua Hira’ bukanlah menyuruh kita bersolat, berpuasa atau berzakat dan sebagainya. Sebaliknya ayat tersebut adalah perintah yang menyuruh kita membaca.

Firman Allah dalam surah al-Alaq bermaksud: Bacalah dengan nama tuhanmu yang menjadikan. Dia menjadikan insan daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama tuhanmu yang Maha Mulia. Dia yang mengajar dengan menggunakan qalam. Dia mengajar insan apa yang dia tidak ketahui.

Dalam hal ini, kita boleh perhatikan betapa bidang penulisan telah berkembang pesat di serata dunia. Bermula dengan hanya menulis di atas pasir, tanah dan tembok gua manusia mencuba menulis menggunakan dakwat berbulu ayam dan melakarkannya di atas kertas. Penggunaan kertas juga terus semakin maju berikutan banyak kajian yang dilakukan untuk menggunakan kertas yang lebih berkualiti.

Dalam dunia serba moden pada hari ini, kita juga terus meningkatkan prestasi dalam bidang penulisan. Kini, selain penggunaan kertas juga dapat dipaparkan menerusi bahan elektronik. Ia dikenali sebagai e-book atau buku elektonik.

Walau apa pun pendekatan terkini tentang cara penulisan dan pembacaan, ia merupakan sesuatu yang perlu kita lakukan jika kita ingin maju. Kita perlu ingat bahawa bangsa yang maju adalah bangsa yang suka dan minat membaca.

Pelbagai slogan sering kita dengar tentang pentingnya membaca. Antaranya ialah, ‘Membaca jambatan ilmu,’ ‘Nadi ilmu dengan membaca,’ ‘Membaca bukan ketika masa lapang tetapi lapangkan masa untuk membaca’ dan sebagainya.

Di pameran buku antarabangsa kali ini, pelbagai buku, majalah, komik, bahan elektronik dan yang hampir sama dengannya kini boleh didapati dengan mudah. Bahan-bahan tersebut dipamerkan kepada umum dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, Tamil, Arab dan beberapa bahasa lain.

Dalam konteks kuantiti bahan, mungkin boleh dikatakan bahan bahasa Arab adalah yang sukar diperoleh berbanding bahan dalam bahasa-bahasa lain. Sebenarnya, masyarakat di Malaysia sangat memerlukan bahan bacaan dalam bahasa Arab.

Ini adalah berlandaskan kepada banyak faktor. Antaranya ialah masyarakat Islam mula menyedari kepentingan bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Quran dan bahasa al-hadis. Kedua sumber ini adalah rujukan utama untuk memperoleh petunjuk dan hidayat.

Selain itu, semua bacaan dan lafaz dalam solat juga dalam bahasa Arab. Di samping itu juga, isi kandungan al-Quran adalah merangkumi semua bidang kehidupan seperti pengurusan, ekonomi, muamalat, pendidikan, sains, kesihatan dan undang-undang.

Bagi masyarakat Cina dan India pula, rata-rata mereka mula berminat untuk mempelajari bahasa ini berdasarkan peluang perniagaan di negara-negara Arab. Ini kerana pasaran di 23 buah negara-negara Arab sangat luas. Daripada jumlah tersebut, tujuh buah negara Arab adalah negara yang kaya dengan minyak seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Algeria, Libya, Sudan dan Bahrain.

Nabi pernah bersabda yang bermaksud: “Belajarlah bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia.” Secara umumnya, hadis ini adalah kata-kata perangsang yang perlu kita renung bersama. Ia adalah kata-kata motivasi yang menunjukkan pasaran bahasa Arab adalah sangat luas. Ia tidak terhad kepada orang Muslim atau bangsa Arab sahaja, bahkan untuk sekelian manusia.

Jika kita kaji secara terperinci suasana di Malaysia, bahasa Arab adalah suatu industri berpotensi besar. Ia menyediakan pelbagai peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat menceburi bidang ini. Ia bukan sekadar membuka peluang sebagai seorang ustaz atau ustazah sahaja. Malah ia adalah suatu industri yang memberi peluang kepada semua.

Sehubungan itu, bahan-bahan bahasa Arab perlu diperbanyakkan. Guru-guru yang mengajar bahasa Arab sepatutnya ditambah bilangan mereka. Pensyarah bahasa Arab disarankan membuat penyelidikan berkaitan kaedah terkini yang mudah untuk mempelajari bahasa Arab.

Para pelajar pula perlu digalakkan untuk menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa utama dalam mencari ilmu pengetahuan. Manakala para pakar motivasi bahasa Arab dijemput untuk mengadakan aktiviti bahasa Arab di sekolah seperti seminar teknik mudah belajar bahasa Arab, bengkel cara cepat kuasai bahasa Arab, perkhemahan bahasa Arab dan sebagainya.

Oleh kerana pengguna bahasa Arab adalah semua makhluk bernama manusia, soal pasaran tidak menjadi masalah lagi. Bayangkan kalau kita menceburi bidang perniagaan emas, sasaran kita sudah berkurangan kerana ia terhad kepada kaum wanita, orang kaya dan orang dewasa sahaja. Sebaliknya, bahasa Arab adalah suatu keperluan utama bagi semua makhluk bernama manusia tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, jantina, umur, tempat tinggal dan sebagainya.

Di Malaysia, antara masalah utama yang dihadapi ialah kekurangan bahan bahasa Arab seperti buku, majalah, buletin (media cetak) dan program rancangan di radio dan televisyen (media elektronik). Sehubungan itu, penulis mengajak mana-mana pihak yang berminat seperti tokoh korporat melihat peluang ini secara positif.

Sebagai contoh, bilangan majalah berdaftar yang berada di pasaran Malaysia hari ini lebih kurang 4,000 naskah dalam pelbagai bahasa. Apa yang perlu diberi perhatian di sini, majalah berbahasa Arab yang diterbitkan di Malaysia hanya satu sahaja setakat ini iaitu majalah Mahir.

Majalah Mahir yang mengandungi 36 muka surat ini mula dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa tahun lepas yang bermula pada Mei 2007. Kini majalah Mahir sudah mencapai 12 keluaran pada pesta tahun ini. Kumpulan sasarannya ialah pelajar peringkat asas mempelajari bahasa Arab tanpa mengira usia, bangsa dan agama.

Antara ciri-ciri yang menarik pembacanya berdasarkan kajian yang dilakukan ialah kesemua muka surat berwarna-warni, banyak gambar ilustrasi, gambar foto dan kartun. Selain itu, harganya juga sangat murah iaitu cuma RM3 dan ruangan iklan hanya satu muka surat sahaja. Di pameran kali ini, anda boleh mendapatkannya di Syarikat Aras Mega ruangan 3227.

Kini, majalah Mahir bukan sahaja dipasarkan di Malaysia, bahkan sudah berada di pasaran antarabangsa seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan beberapa buah negara Arab. Dalam konteks sekolah-sekolah di Malaysia, pelbagai bengkel telah diadakan seperti Majalah Dalam Darjah (MDD), Teknik Mudah Menggunakan Bahan Bacaan dan Teknik Mudah Membuat Majalah Bahasa Arab Di Sekolah. Bagi yang berminat sila hubungi e-mel di atas atau hubungi talian 019-278 8055.

Sumber: abdullatef.wordpress.com