Pra-Syarat La ilaha illa-llah



.

 

Setiap Muslim mengetahui bahawa kunci Syurga adalah kalimah,"Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan Allah." Namun terlalu ramai Muslim yang dengan mudah bergantung kepada pernyataan ini dan percaya bahawa sekiranya mereka melafazkannya, tiada apa yang buruk akan menimpa mereka. Mereka merasakan mereka akan dianugerahkan  dengan Syurga semata-mata kerana melafazkan kalimah Shahadah  ini.

 Sebenarnya, memang tidak perlu dipersoalkan bahawa sekadar melafazkan, "Aku Menyaksikan Bahawa Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah dan Aku Menyaksikan Bahawa Muhammad itu Hamba Dan  Rasul-Nya," adalah tidak memadai. Malah, orang-orang Munafiq juga telah melafazkan kalimah Shahadah dan Allah SWT menyatakan bahawa  mereka ada pendusta dan akan menduduki Neraka yang paling dalam.

 Namun begitu, sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulamak, kalimah atau pernyataan ini adalah kunci Syurga. Wahb ibn Munabbih pernah ditanya, "Bukankan pernyataan la ilaha illa-llah itu kunci Syurga?"   Beliau telah menjawab, "Benar, tetapi setiap kunci mempunyai  mata-matanya. Sekiranya kamu datang dengan kunci yang mempunyai mata yang betul, pintu itu akan terbuka buatmu. Tetapi sekiranya  anak kuncimu tidak mempunyai mata yang betul, pintu itu tidak akan  terbuka untukmu." Maksudnya di sini, ada pra-syarat yang diperlukan. Pra-syarat inilah yang membezakan antara mereka yang   mendapat manfaat daripada pernyataan mereka dengan mereka yang   tidak mendapat manfaat tersebut, walau sebanyak mana sekalipun mereka membuat pernyataan tersebut.

 Sebelum membincangkan pra-syarat kalimah Shahadah, saya merasakan bahawa ada satu perkara yang perlu saya jelaskan. Ramai orang gemar  mengambil satu hadith atau satu ayat dan kemudiannya, berpandukan   satu ayat itu semata-mata, mereka akan membuat kesimpulan seperti, sesiapa yang melafazkan kalimah Shahadah akan memasuki Syurga. Sepatutnya kita semua sedar bahawa keseluruhan al-Quran dan hadith itu saling melengkapi dan menerangkan satu sama lain. Untuk  menentukan kedudukan sebenar sesuatu persoalan, seseorang itu perlu mengambilkira semua ayat dan hadith yang berkenaan dan kemudian barulah menentukan apakah pandangan Islam yang sebenarnya mengenai   perkara tersebut. Begitu jugalah dalam memahami pra-syarat  pernyataan kalimah Shahadah itu.

Sekiranya kita mengkaji ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW, kita akan mendapati bahawa terdapat tujuh, lapan atau sembilan (bergantung kepada bagaimana kita melihatnya)  syarat-syarat kalimah Shahadah. Adalah sangat penting untuk kita memastikan bahawa kita memenuhi syarat-syarat ini dalam kehidupan kita dan dalam pengakuan keimanan kita. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi syarat-syarat ini sebelum terlambat bilamana pengakuan keimanan kita tidak akan memanfaatkan kita lagi. Ianya bukanlah sekadar untuk mengajarkan syarat-syarat  ini. Malah, tidak ada manfaatnya di situ melainkan kita semua  memeriksa (muhasabah) diri kita dan memastikan bahawa kita memenuhi syarat-syarat tersebut semoga, dengan rahmat Allah SWT,  pintu-pintu syurga akan terbuka untuk kita menerusi kunci la ilaha   illa-llah kita.

 

1 Syarat yang pertama adalah Ilmu

2  Syarat yang kedua adalah Yakin



1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 next